“Kafir Dzimmi Dan Kafir Harbi” - JAKIM
Berikut
adalah petikan khutbah JAKIM pada 22 Januari 2010 tentang Kafir Harbi
dan Kafir Zimmi. Bolehlah dijadikan noktah-noktah pencerahan. Adapun
polemik oleh pemain politik kepartian tentang isu ini eloklah dijauhi.
Dalam konteks kehidupan beragama di negara ini penduduknya terdiri
daripada Islam dan bukan Islam. Menurut syariat Islam, pada dasarnya
terdapat dua jenis status orang bukan Islam atau Non-muslim iaitu Kafir
Harbi dan Kafir Dzimmi.
Secara ringkasnya Kafir Harbi adalah
merujuk kepada orang bukan Islam yang terlibat dalam peperangan membunuh
orang Islam di dalam wilayah yang bergolak. Pada masa ini, mimbar amat
meyakini terdapat ejen-ejen kafir harbi yang bergerak secara senyap
menimbulkan perpecahan atau pun menggunakan isu-isu agama di negara
Islam. Contoh jelas ialah apa yang berlaku di beberapa negara Asia
Barat.
Manakala orang Kafir Dzimmi pula merujuk kepada orang
bukan Islam yang menetap dalam negara Islam, mendapat kerakyatan,
membayar cukai yang ditetapkan dan mendapat jaminan keamanan daripada
pemerintah Islam berdasarkan perjanjian yang dipersetujui.
Persoalan besar timbul ialah apakah jenis status orang bukan Islam yang
terdapat di negara kita samada digolongkan sebagai Kafir Harbi atau
Kafir Dzimmi. Berdasarkan pemerhatian mimbar status orang bukan Islam di
negara ini digolongkan sebagai ahli Dzimmi kerana pada prinsipnya
mereka mentaati dan mengakui untuk tunduk kepada perjanjian kontrak
sosial yang diwujudkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Salah satu persetujuan penting dalam perlembagaan itu ialah mengakui
Islam adalah agama Persekutuan yang membuka jalan Islam menjadi agama
yang berkuasa di negara ini. Pada masa yang sama Yang Dipertuan Agong
dan Raja-Raja Melayu sekaligus menjadi Ketua Agama Islam dan pelindung
memartabatkan Islam di negeri-negeri yang berkaitan. Selari dengan
kontrak sosial itu mereka tinggal aman damai, tinggal bersama dalam
masyarakat Islam sebagai jiran tetangga, menjadi rakan sekerja, rakan
kongsi berpolitik, rakan sepermainan dan menjadi rakan sekolah. Malah
mereka diberi peluang pula berkongsi menyumbangkan tenaga memerintah
negara ini.
Mesyuarat Jemaah Menteri juga memain peranan besar
dalam menentukan ketinggian Islam dalam perlembagaan. Pada 16 Mei 1986
Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan kalimah Allah adalah termasuk antara
beberapa kalimah yang dilarang penggunaannya oleh mereka bukan beragama
Islam. Malah pada 3 Jan 2008 Jemaah Menteri sekali lagi mengulangi
bahawa orang bukan Islam dilarang menggunakan kalimah Allah dalam
penerbitan agama mereka. Malah sepuluh buah negeri telah menguatkuasakan
Enakmen Kawalan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang bertujuan
melarang orang bukan Islam menggunakan secara bertulis ataau lisan atas
perkataan yang dilarang. Semua peraturan ini dibuat bagi menjamin
keharmonian hidup beragama dan perlu ditaati oleh pihak berkaitan.
Menurut prinsip hukum Islam, memberi perlindungan dan layanan baik
kepada ahli Dzimmi adalah wajib. Firman Allah SWT dalam surah
al-Mumtahanah, ayat 8:
Maksudnya: “ Allah tidak melarang kamu
daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak
memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung
halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil”.
Menurut al-Quran, orang Islam dikehendaki mengadakan hubungan mesra dan
baik dengan ahli Dzimmi serta bersikap adil selagi mereka tidak
menentang dan menindas orang Islam atau menghalang penyebaran Islam.
Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,
Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada manusia sejagat. Saidina
Abu Bakar As- Siddiq pernah berpesan kepada kaum muslimin sebelum
berangkat ke medan perang dengan mengingatkan tenteranya supaya jangan
berbuat khianat, membunuh bayi, membunuh orang tua, membunuh kaum
wanita, menyembelih binatang ternakan, menebang pokok, menghancurkan
rumah penduduk, membakar ladang pertanian, mengganggu orang beribadat ,
merosakkan rumah ibadat, dan menyerang mereka pada waktu subuh untuk
mengelak kaum wanita dan kanak-kanak menjadi panik. Kisah Saidina Umar
Al-Khatab yang memasuki gereja Yahudi ketika Baitulmaqdis ditawan juga
tidak menyuruh tenteranya membakar gereja, buku bible dan salib bahkan
membiarkannya sahaja.
Berdasarkan ajaran al-Quran dan tindakan
bijak pemimpin Islam di zaman Rasulullah SAW jelas kepada kita bahawa
menzalimi dan memusuhi orang bukan Islam adalah bukan ajaran Islam.
Dengan demikian perbuatan membakar gereja dan rumah ibadat orang bukan
Islam menyalahi bercanggah dengan hukum Islam. Islam juga mengajar kita
jangan terikut-ikut dengan emosi liar.
Bagaimana pun mimbar
mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa mengadakan hubungan
baik dengan orang bukan Islam bukanlah bermakna kita lupa tanggungjawab
kita kepada Islam. Islam menetapkan bahawa persoalan iman dan ibadat
tidak ada toleransi. Oleh itu apabila masuk waktu solat ketika
melaksanakan program bersama dengan orang bukan Islam, kita utamakan
bersolat, apabila kita makan pastikan apa yang kita makan itu adalah
halal. Jika terdapat aktiviti yang bercampur halal dengan haram maka
kita hendaklah jauhi. Apa yang lebih malang lagi dalam menjayakan
toleransi itu kadang kala kelihatan penampilan akhlak orang Islam itu
sama dengan tabiat orang bukan Islam.
Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,
Mimbar ingin mengingatkan jemaah sekalian apabila kita ditekan dan
dituntut oleh pihak tertentu untuk memenuhi tuntutan mereka, maka
hendaklah kita terus berpegang kepada ajaran Islam supaya kita tidak
mudah hilang pedoman. Firman Allah SWT dalam Surah al-An’aam ayat 153:
Maksudnya: ”Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus,
maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan
(lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan
kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan
kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru
sidang jemaah dan umat Islam sekalian agar berwaspada dengan muslihat
ejen-ejen kafir harbi ini dan jangan sekali-kali kita menggadai akidah,
menggadai jati diri muslim, menggadai integriti demi untuk menjaga
ketinggian agama Islam di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan