Teman setia

Isnin, 20 Ogos 2012

Khilaf Ulama’ Dalam Hukum Fiqh : Sebab Dan Adab-Adabnya (1)


Khilaf Ulama’ Dalam Hukum Fiqh :
Sebab Dan Adab-Adabnya
oleh
Prof. Madya Mohd. Saleh Bin Haji Ahmad

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
 

PENDAHULUAN

Bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah menghidupkan hati-hati kita dengan WahyuNya, menyelamatkan kita dari kejahilan, memberi hidayat dari kesesatan dan seterusnya menjadikan kita sebaik-baik ummah yang dilahirkan untuk faedah manusia, apabila kita beriman denganNya (wahyu) yang didatangkan kepada kita dan kita mengamalkannya sebagaimana semestinya. Selawat dan salam dituju kepada baginda Rasulullah s.a.w yang membawa rahmat untuk sekelian alam, para sahabatnya dan yang mengikut jalannya hingga hari Kiamat.

Perbahasan tajuk kertas kerja ini memang panjang kalau hendak diperincikan, tetapi untuk menyesuaikan dengan peserta yang terlibat dalam seminar ini, maka penulis terpaksa mengambil pendekatan yang mudah dengan meringkaskannya kepada beberapa noktah penting. Mudah-mudahan dengan pembentangan yang sebegini dapat memberi peluang yang banyak kepada peserta utnuk turut serta dalam sesi perbincangan yang akan menghasilkan natijah yang berfaedah untuk kita semua. InsyaAllah.

1 Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Pengembangan Ilmu anjuran Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Institut Pengajian Ar-Razi, S. Prai Selatan bertempat di Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) Wilayah Utara, Kepala Batas, S. Prai Utara pada 31.7.2004


Sebelum memulakan perbincangan lebih lanjut berkenaan khilaf, sebab dan adab-adabnya, saya kira adalah lebih baik kita membentangkan dahulu pengertian fiqh dari segi bahasa dan istilah, sumber hukum dan perbahasan ruang lingkupnya serta mazhab-mazhab fiqh dalam Islam.

PENGERTIAN AL-FIQH

Perkataan fiqh adalah dari segi bahasa Arab yang memberi erti faham atau kefahaman, iaitu kefahaman seseorang secara mutlak atau mendalam yang dapat memahami tujuan perkataan yang diucapkan dan perbuatan yang dilakukan [2]. Dalilnya firman Allah s.w.t , antaranya:

” واحلل عقدة من لسانى يفقهواقولي “

Ertinya: “Dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengertikan perkataanku”.
(Surah Taha: 27,2Cool

” يا شعيب ما نفقه كثيرا مما تقول “

Ertinya: “Wahai Syuaib! Kami tidak faham kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu”.
(Surah Hud: 91)


Daripada perkataan fiqh dari segi istilah telah melalui beberapa tahap perubahan secara perlahan-lahan. Pada awal istilah fiqh dimaksudkan

“Semua hukum-hukum agama yang dibawa oleh Syariat Islam, sama ada hukum-hukum ini berkaitan dengan aqidah, akhlak, ibadat dan muamalat”.

2 Wahbah al-Zuhaili (Dr.), (1986) Damsyik, Dar al-Fikr “Usul al-Fiqh al-Islami”, jld : 1, hal : 8

Kemudian berlaku perubahan penggunaan kalimah fiqh kepada “Mengetahui dan memahami hukum-hukum Syara’ yang berkaitan dengan mukallaf seperti wajib, haram, sunat, makruh, harus, keadaan sesuatu akad itu sah atau batal, keadaan ibadat itu qadha’ atau ada’ dan sebagainya” [3].

Perkembangan berikutnya fiqh dari segi istilah dimantapkan dengan maksud “Mengetahui hukum-hukum Syara’ yang Amali dengan berdalilkan dari dalil-dalil tafsili atau hanya’iy”.[4]

SUMBER HUKUM FIQH

Secara ringkas dapatlah disimpulkan bahawa sumber hukum fiqh ada yang disepakati ulama’ dan ada yang khilaf. Maka sumber yang disepakati ialah al-Qur’an, al-Sunnah, al-Ijma’ dan al-Qiyas. Sementara yang khilaf pula ialah al-Istihsan, al-Masalih al-Mursalah, al-’Urf, mazhab Sahabi, al-Istishab dan Syar’u Man Qablana.[5]

PERBAHASAN ILMU FIQH

Fokus ilmu fiqh tertumpu kepada segala perkara yang berhubungkait dengan perlakuan dan tindak tanduk lahiriah manusia.

Maka pokok perbincangannya ialah segala perbuatan manusia dalam semua keadaan, sama ada perkara yang berhubung antara manusia dengan Allah s.w.t sebagai Pencipta, atau manusia sesama manusia dan manusia dengan haiwan dan alam sekitar, sama ada perkara yang berhubungan dengan hukum wajib, sunat, makruh, harus,syarat, sah, mani’, sebab dan batal. Justeru itu ia bukan berkisar mengenai hukum taklifi sahaja malah berhubungan juga dengan hukum wadh’iy.

Sumber rujukan :
3 al-Ghazali, “al-Mustasfa”. jld : 1, hal : 4-5

4 Abu al-Karim Zaidan (1994), Beirut, Muassasah al-Risalah, “al-Wajiz”, hal : 8

5 Boleh dirujuk kepada kitab-kitab “Usul al-Fiqh”


Jelaslah bahawa perbincangan dan skop ilmu fiqh ini menyentuh berkenaan hukum Syara’, iaitu segala apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t melalui wahyu matluw (al-Qur’an) atau wahyu ghair matluw (al-Sunnah). Berdasarkan luas dan syumulnya skop perbincangan ilmu fiqh ini dapatlah ditegaskan bahawa ia mencakupi hukum-hukum berikut:

1. Ibadat seperti solat, puasa, zakat dan hukum-hukum yang mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya.

2. Sistem mu’amalat

3. Sistem kekeluargaan atau munakahat

4. Sistem kehakiman atau pengadilan

5. Undang-undang khas antarabangsa

6. Undang-undang am antarabangsa

7. Sistem pemerintahan

8. Sistem kewangan

9. Undang-undang jenayah Islam dan lain-lain lagi

MAZHAB-MAZHAB FIQH DALAM ISLAM

Ramai tokoh ulama’ mujtahidin muncul pada peringkat keempat (daripada awal kurun kedua hijrah hingga pertengahan kurun keempat) dalam sejarah perkembangan fiqh. Mereka telah memainkan peranan penting dalam mengembangkan, menyubur dan memajukan fiqh dan seterusnya mengasaskan madrasah atau sekolah-sekolah fiqh yang berjaya melahirkan ulama’-ulama’ besar dan pengikut-pengikut yang ramai. Madrasah dan sekolah inilah yang dinamakan mazhab-mazhab Islam atau fiqh bersama dengan nama pengasasnya.

Mazhab-mazhab ini walaupun banyak bukanlah bermakna ianya mengecilkan Islam dalam aliran tertentu dan bukan juga suatu proses mewujudkan Syari’at baru. Namun begitu ia merupakan manhaj atau metod untuk memahami Syari’at, cara-cara menafsir nas-nas dan mengambil hukum dari sumber-sumbernya.

Mazhab-mazhab yang berkembang pada waktu itu ada yang masih berdiri teguh dan mempunyai pengikut yang ramai hingga kini dan ada di antaranya sudah lenyap ditelan zaman tanpa pengikut dan tidak diketahui adanya katakata atau fatwa mereka, melainkan apa yang disebut dalam kitab-kitab “al-Khilaf” (perbandingan Mazhab) dan kitab-kitab mazhab yang masih kekal.[6]

Bolehlah kita bahagikan mazhab-mazhab ini kepada tiga bahagian:

• Mazhab yang tidak berkembang lama

• Mazhab Syi’ah dan Khawarij

• Mazhab fiqh yang paling masyhur bagi imam-imam Ahli Sunnahwa al-Jama’ah

MAZHAB YANG TIDAK BERKEMBANG

Para mujtahid pada zaman ini sebenarnya cukup ramai, terdiri daripada tabi’in atau tabi’i al-tabi’in atau mereka yang berikutnya, tetapi kebanyakan mereka ini tidak ada orang yang mengumpul dan menyebarkan mazhab mereka di kalangan orang Islam dan mamfatwakannya. Akhirnya mazhab ini makin lama makin mengecil. hampir pupus dan hilang fiqhnya, kecuali pandangan mereka yang ditemui bertaburan di dalam kebanyakan kitab tafsir bil ma’thur, syarah-syarah hadith dan kitab-kitab fiqh mazhab yang kekal.

Di antara tokoh-tokoh mujtahid ini ialah seperti ‘Ata’ bin Abi Rabah, Sa’id bin al-Musayyib, Ibrahim al- Nakha’iy, Sufyan al-Thauri. al-Imamal-Auza’iy, Ibn Jarir al-Tabari, Daud al-Zahiri dan lain-lain lagi.

Sumber rujukan :
6 Abd al-Karim Zaidan (1969), “Madkhal Li Dirasah al-Syari’ah al-Islamiyyah”. Baghdad, Matba’ah al-’Ani. hal : 155

MAZHAB SYI’AH DAN KHAWARIJ

Terdapat beberapa mazhab lain yang masih hidup, kekal, berkembang dan diberi perhatian. Namun begitu ijtihad pendokong-pendokongnya telah terkeluar dari lingkungan Ahli Sunnah wa al-Jama’ah dari segi Usul (prinsip) dan Furu’. Mazhab yang terpenting sekali ialah Syi’ah dan Khawarij, kemudian yang paling masyhur sekali ialah:

• Mazhab al-Ibadiyyah dari golongan al-Khawarij
• Mazhab al-Imamiyyah dari Syi’ah
• Mazhab al-Zaydiyyah dari Syi’ah juga tetapi ia lebih dikenali sebagai mazhab yang sedehana dan lebih hampir kepada Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.

MAZHAB-MAZHAB FIQH AHLI AL-SUNNAH WA AL-JAMA’AH

Mazhab fiqh yang termasyhur dari kalangan imam Ahli al-Sunnah waal-Jama’ah yang masih terus menerus memberi khidmat dan mempunyai pengikut setia yang ramai mengembang, menyebar, mengajar seterusnya dipelajari ialah empat mazhab yang terkenal seperti berikut:

1. Imam Abu Hanifah (80-150H)
2. Imam Malik bin Anas (93-179H)
3. Imam al-Syafi’i (150-204H)
4. Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H)

- Sambungan ..... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan