Teman setia

Isnin, 23 Julai 2012

Malaysia Darul Islam - sebuah impian

Perpustakaan Kolej Trinity, Ireland
Semua insan manusia ada impian. Begitu juga rakyat Malaysia. Begitu juga bangsa melayu di Malaysia yang merupakan penduduk asal di Tanah Melayu semenjak beribu tahun lagi. 

Apakah impian dan hasrat mereka kepada negara tercinta Malaysia?

Bagiku,
1) Malaysia perlu terus membangunkan negara dan rakyatnya samada dari segi prasarana, sistem, pentadbiran dan mengubah minda dan mentaliti rakyatnya kepada masyarakat madani selari dengan islam. Walaupun negara Madinah semasa zaman Nabi SAW sudah amat berbeza dengan zaman hari ini, namun, acuan dan garispanduannya boleh diselarikan supaya tidak jauh tersasar. Segala pembaharuan yang bersesuaian dengan syarak adalah harus dan wajar di bangunkan dan dikembangkan.

2) Ia bermula dari pelbagai peringkat - rumah, kampung, taman, daerah, negeri dan negara. Masing-masing ada tanggungjawabnya. Ini perlu digembelengkan bersama untuk mencapai satu tahap negara dan masyarakat madani yang tinggi dan bertamadun. Tamadun ini bukan bererti sama 100% dengan negara-negara maju yang diiktiraf PPB dan dunia. Erti Daulah Islamiyah yang bertamadun perlu di beri definisi semula sejajar dengan abad 21 ini.

3) Pada pandanganku, zaman ini, abad 21, sudah jauh berkembang dan maju dari segi ilmu. Ia juga dikenali sebagai zaman sains dan teknologi dimana penemuan sains dan teknologi sangat membantu kehidupan manusia disamping dapat menjawab pelbagai rahsia alam. Al-Quran dan hadith mendahului zaman dengan menceritakan hal-hal alam cakerawala dan makhluk seluruhnya. Namun, hari ini banyak misteri-misteri yang tersurat dan tersirat dalam Al-Quran dan hadith dapat dirungkaikan dengan lebih ketepatan melalui kajian dan penemuan sains dan teknologi.

4) Oleh itu, Malaysia perlulah menguasai bidang sains dan teknologi supaya dapat merealisasikan impian negara madani. Objektif ini perlu untuk membezakan Malaysia dengan negara-negara barat yang mempunyai agenda tersendiri. 

5) Tamadun islam menggariskan hal-hal fardhu ain dan kifayah kepada negara dan rakyatnya. Ia merangkumi semua aspek kehidupan. Samada dari segi ekonomi, politik, sosial, sains dan teknologi. Segala-galanya harus mengikut kehendak syariat. Ia perlu menepati akidah, syariah dan akhlak/tasawuf islam ahlus sunnah wal jamaah.

6) Setiap negara ada cabarannya samada dari dalam mahupun luar. Amat perlulah Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan negara-negara islam yang lain dalam OIC. Begitu juga sebaliknya. Walaupun hal politik dunia itu tidak mudah, namun dengan kesatuan negara-negara OIC, ia akan dapat menguatkan kedudukan dan kestabilan negara-negara islam seperti Malaysia.

7) Malaysia perlu mempunyai kekuatan dari semua lapisan. Dari pemimpin tertinggi, Khalifah negara hinggalah kepada rakyat jelata. Semua rakyat Malaysia mesti mempunyai minda dan mentaliti kelas pertama yang berasaskan Al-quran dan sunnah. Hanya dengan cara ini yang akan dapat menyelamatkan Malaysia sehingga hari kiamat.

InsyaAllah jika semua rakyat Malaysia bersatu dibawah akidah, syariah dan akhlak ahlus sunnah wal jamaah, Malaysia akan terus maju cemerlang dan berjaya dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan