Saya pergi ke Riyadh pada hari Merdeka, 31 Ogos 2007 atas urusan kerja selama tiga bulan.
Saya menaiki penerbangan Gulf Air dan transit di Bahrain. Kali pertama menjejaki lapangan terbang Riyadh dapat merasakan sedikit kelainan dengan negara tercinta Malaysia. Ramai pekerja-pekerja buruh asing dari bangladesh, india dan pakistan datang ke Arab Saudi untuk mencari sesuap nasi buat keluarga di tanahair mereka. Bagi mereka ini yang datang beramai-ramai melalui ejen pekerjaan, imigresen Riyadh memeriksa dokumen mereka dengan teliti. Ramai yang tak boleh cakap arab. Mereka diarahkan beratur panjang.
Pelancong dan penziarah atas urusan lain pergi ke kaunter lain. Urusan imigresen agak mudah juga jika semua dokumen lengkap. Urusan visa di Malaysia dikatakan semakin susah dan lambat. Dalam lapangan terbang Riyadh, suasananya lebih kurang lapangan terbang antarbangsa Pulau Pinang. Setelah selesai urusan imigresen, kawan sepejabat di Riyadh sedang menunggu kami (saya bersama dua lagi rakan) di kawasan menunggu ketibaan.
Kami sampai lebih kurang waktu maghrib masa itu. Setelah berjabat salam, kami berjalan ke tempat parkir kereta di bawah tanah bersebelahan lapangan terbang. Fuhhh....negara padang pasir kan....memang berdebu lah kawasan luar dan dalam kawasan parkir tu. Setelah menaiki kereta dan keluar dari parkir itu, nampak pasir saja di kiri kanan jalan. Pokok-pokok kecil yang sesuai dengan tanah padang pasir boleh dibilang jari. Sepanjang jalan tak banyak rumah-rumah. Hinggalah kami sampai ke kawasan kediaman dan kedai-kedai tepi jalan berdekatan lebuhraya. Kedai-kedai tepi jalan ada yang besar dan kecil. Begitu juga rumah. Kebanyakan rumah di kawasan sederhana dan kaya di Riyadh macam banglo dan rumah teres. Kami tinggal di pangsapuri hotel yang disewa. Dua bilik tidur, satu ruang tamu, dapur dan bilik air. Ada hawa dingin/pemanas untuk digunakan pada musim panas/sejuk. Tingkap kena tutup supaya debu tak masuk ke dalam.
Kebetulan waktu kami sampai itu hampir dengan Ramadhan. Rakan-rakan sepejabat berbincang untuk membawa kami ke Madinah dan Makkah untuk umrah dan berpuasa/iftar/taraweh di sana. Kami pergi naik bas dari Riyadh ke Madinah. Pakej murah. .........kembali ke Ramadhan di Riyadh. Saya akan ceritakan pengalaman di Madinah dan Makkah di lain entri.
Selain dari umrah awal dan hujung Ramadhan di Madinah dan Makkah, saya berada dan menyambut Ramadhan di Riyadh. Berdekatan Saudi Telecommunications. Tempat kerja kami.
Semasa kami sampai, ia musim panas di Riyadh. Cuti sekolah musim panas. Ramai orang Saudi pergi melancong ke luar negara untuk lari dari cuaca panas terik hingga 40+ celcius.
Bagi saya, puasa di Riyadh walaupun musim panas tidaklah teruk sangat kerana kami kerja dalam bangunan pejabat. Ada hawa dingin. Tak banyak guna tenaga keringat dan tak keluar peluh pun. Alhamdulillah, puasa di sana tak susah. Waktu solat, 'semua' (yang nampak dimata) turun ke musolla dalam bangunan tu. Selepas solat semua kembali ketempat masing-masing. Kantin ada di tingkat bawah sekali. Makanan dia ok sebab saya tak cerewet sangat dan mulut citarasa antarabangsa, boleh makan semua jenis makanan antarabangsa yang utama. Asalkan tak pelik sangatlah.
Sekali-sekala ada juga keluar dari bangunan tu ke bangunan bersebelahan. Memang panas dan bahang terasa. Pukul 5.00 petang semua orang dah ghuyub....sunyi sepi. Kami pun sama jugalah cepat-cepat tinggalkan pejabat.
Kami ada berbuka di masjid setelah di panggil oleh Ustaz Hassan yang mengatakan orang arab mencari orang Malaysia untuk berbuka puasa. Ustaz Hassan jadi penceramah di situ kerana tahu bahasa Malaysia. Ia agak khusus untuk orang nusantara seperti Malaysia dan Indonesia. Ada kuiz juga diberikan oleh ustaz. Saya pun ada dapat hadiah bila dapat menjawab satu soalan mudah. Boleh dikatakan semua soalan yang diberikan agak mudah untuk menarik minat ramai menjawab.
Makanan yang disediakan untuk iftar adalah nasi, buah, laban dan kurma. Jika ada yang lebih, bawa balik ke rumah. Kami semua makan dalam khemah. Memang musim puasa, ada saja penaja nak taja buka puasa dan mereka mencari sesiapa yang ingin berbuka puasa datang ke tempat mereka yang disediakan. Setelah selesai makan, kami semua ke masjid berdekatan beberapa meter saja. Selesai maghrib, kami balik ke rumah.
Suasana bulan Ramadhan di Riyadh tiada beza dengan bulan-bulan lain kecuali waktu malam. Kami biasanya ke masjid berdekatan rumah untuk solat taraweh. Imam muda hafiz. Sedap dan lembut suaranya. Bacaan berlagu dan santai saja walaupun 20 rakaat. Tiada moreh tapi diberi air minuman dalam botol atau bekas yang kecil dibeli di kedai. Di masjid tu jemaahnya ada kala ramai dan tidak.
Masjid putih besar di Riyadh memang jadi tumpuan ramai penduduk Riyadh. Imam hafiz berpengalaman. Penuh masjid setiap hari. Kereta penuh tepi jalan. Tiada lampu pelita meriah dipasang seperti di Mesir.
Kami tak berbuka puasa di satu tempat ustaz Hassan saja. Masjid dekat rumah pun ada buat iftar. Ada sekali dua kami berbuka di situ. Makanan lebih kurang sama. Ada juga hari-hari yang kami berbuka di rumah kami. Ada juga pergi ke rumah-rumah rakyat Malaysia yang bekerja di Riyadh. Ada juga buat majlis kumpul ramai-ramai seperti di 'Flat Sri Wangi' dimana boleh dikatakan hampir 80% rumah dalam flat (macam pangsapuri) tu penghuninya adalah rakyat Malaysia. Macam-macam makanan Malaysia disediakan. Memang tak rindukan masakan melayu lah....
Sekali tu ustaz Hassan buat jamuan berbuka dirumahnya. Ramai yang datang. Ustaz Hassan dari Selatan Thai, Patani rasanya. Kami dijamu masakan melayu Thai lah disamping makanan arab. Ustaz Hassan juga pengusaha restoran masakan melayu di Riyadh. Restoran Mutiara.
Solat taraweh di Riyadh yang kami pergi semua 20 rakaat dan agak panjang/lama bergantung kepada bacaan imam. Ada yang baca cepat dan ada yang sederhana. Selesai taraweh, balik rumah dan rehat/ makan moreh sendiri hidang. Kami naik kereta ke masjid berdekatan. Kalau jalan mungkin dalam 15-20 minit. Kawasan situ rumah besar-besar dan pagar batu yang tinggi. Orang dari luar tak nampak apa yang berlaku dalam kawasan rumah tu.
Di masjid berdekatan hotel kami ada buat qiyam waktu pagi dalam pukul 2.00+ pagi. Biasanya imam akan umumkan waktu qiyam mula selepas taraweh. Masjid-masjid besar dan lain-lain pun rasanya ada buat qiyam juga.
Namun, masjid dekat hotel tu kadang-kadang penuh masjid masa taraweh dan biasanya kurang penuh. Lepas lapan rakaat atau setengah, jemaah semakin berkurangan. Qiyam pagi pun sama. Tak ramai jemaah. Dalam 3-4 saf saja.
Masjid di Malaz, Riyadh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan