Teman setia

Rabu, 1 Ogos 2012

Kembara Mesir: Kaherah (Hari 4-6)

Saya berpindah dari Doqqi ke Pusat bandar supaya senang berjalan-jalan siang dan malam di sekitar situ. Banyak jenis hotel/hostel ada semurah LE25 sehari jika tempah diatas talian. Jika pergi terus, mahal sikitlah depa caj. Orang berniaga tentu nak buat untung. Kan?

Hari semalam dah jumpa Khan Al-Khalili. Terlupa nak cakap saya terserempak kawan semasa buat A-level kat pasar tu. Dia dan isteri bekerja di Qatar datang bercuti ke Mesir. Jadi, keesokannya saya berjalan saja ke situ tanpa naik van. Dekat saja rupanya. Puas pusing-pusing dalam tu rasa lapar pulak. Saya beli makaroni dari penjaja tepi koridor situ. Tawar tapi telan jugalah. 


Saya terasa nak berjalan ke masjid sebelah pasar tu dan ziarah masjid dan makam dalam masjid. Keluar dari situ, saya berjalan pula ke masjid Al-Azhar. Tanya orang arab jalan mana menuju ke masjid tu. Akhirnya sampailah masjid Al-Azhar dan masuk kedalam dan pusing seluruh kawasan dalam masjid. Tak ramai orang masa tu. Ada seorang pelajar Mesir rasanya menawarkan untuk membawa saya melihat masjid tu sambil memberi penerangan. Biasalah, orang Mesir ni semua dia nak caj perkhidmatan bila cerita kepada pelancong (tak semua la....tapi semua yang saya jumpa sepanjang kembara saya). Selesai di dalam, saya keluar masjid nak balik. Sempat juga singgah ke tandas di luar. Kebersihan kurang memuaskan. Bila keluar tandas dan nak balik barulah nampak seorang pelajar Malaysia. Dia kata dia belajar di cawangan. Jauh juga. Tak ingat nama cawangan tu. Saya kata pergilah jalan-jalan cari pengalaman dan ilmu di Timur Tengah. Dia kata tak ada duit. Sayang. Dah dekat dah.

Lepas masjid Al-Azhar saya tak pergi ke Universiti kerana hari tu tutup. Berjalan punya berjalan, masuk lagi ke pasar hari pulak. Macam-macam lah ada jual. Daging, ikan, ayam, sayuran, kaset/Cd lagu dan filem pun ada jual. Kuat juga dia pasang lagu tu. Lagu pop moden. Orang muda. Terus lagi berjalan bersiar-siar di kawasan situ hinggalah malam. Waktu malam pun lain sikit suasana dia. Di jalan-jalan besar dekat Medan tahrir banyak kedai-kedai dibuka. Ramai orang membeli belah dan cuci mata. Apa yang menarik saya cuba pergi tengok.

Selagi kaki tak letih, saya pergi ke tempat-tempat bersejarah, bangunan orang tempatan pergi dan kerja, kedai kopi dan lain-lain. Ada juga bersiar-siar sepanjang sungai nil tu dan lepak bila letih. Banyak lah bot-bot yang memberi hiburan bunyi-bunyian, makan-makan dan 'tarian gelek' sepanjang sungai nil. Ada juga muda-mudi ber'dating'. Kereta memang banyak di Kaherah. Fiat lama banyak. Kereta baru jarang-jarang nampak. Mungkin kawasan kaya ada lah. Ganas juga depa bawa kereta.

Hari berikutnya saya berjalan di sebelah muzium dan bangunan-bangunan senibina lama di Kaherah Lama. Jalan kaki. Banyak lah masjid dan tempat/bangunan bersejarah yang terkenal dalam buku pelancong tu sempat saya pergi. Ada satu bangunan tu, rasanya istana lama, tak sempat masuk sebab baru saja ditutup. Lambat sikit saya sampai. Banyak juga masjid-masjid lama saya masuk dan tengok ukiran dan senibina dalaman dia. Makam-makam ulama pun ada di situ. Tabung disediakan untuk sumbangan. Sebelah kawasan perkuburan besar situ ada sebuah masjid, rasanya masjid Siti Fatimah. Ramailah orang Syiah ziarah situ. Sama juga dengan masjid Saidina Ali dan Hassan atau Hussain. Penuh orang syiah buat lawatan siang dan malam. Siap buat bunyi dari mulut lagi.

Boleh katakan saya khatam semua kawasan Old Cairo dan kawasan belah 'perkuburan' tu. Sempat juga lalu kawasan kediaman situ. Tengok budak-budak main, perempuan/wanita jalan ke sana-sini bawa anak-anak, lelaki-lelaki sedang bekerja dan masuk kedai runcit tepi jalan. Terjumpa satu stesen Metro dekat pasar hari Zainab (rasanya). Sempat juga beli coklat mesir, buah-buahan dan gula-gula. Ternampak seorang pelajar perempuan Malaysia (mungkin) berjalan dengan pantas keluar dari stesen Metro tu.

Memang satu pengalaman yang menarik untuk melihat Mesir jika kita berjalan kaki dan pergi ke semua tempat yang boleh. Jika pergi dengan Tour, depa bawa naik van/kereta ke tempat tertentu saja. Jika jelajah sendiri, kita boleh pergi mana yang kita suka. Untung jika kembara masa muda dan kuat.

Banyak yang saya tak dapat ingat nama dan tempat yang tak dapat nak ceritakan di sini. Episod seterusnya adalah kembara ke Luxor dan Iskandariah.








Selasa, 31 Julai 2012

Kembara Mesir - Kaherah (hari 2-3)

Saya tinggal di Kaherah selama tujuh hari. 3 hari di sebelah Doqqi dan 4 hari di tengah bandar Kaherah, berdekatan Medan Tahrir. Ramai juga pelancong luar dari Eropah nampak di jalan-jalan. Ramai pelancong Eropah ini membuat tempahan atas talian dan hotel/hostel yang dikenali oleh ramai pelancong Eropah. Dengan orang Mesir ni kita kena hati-hati juga...Cakap pandai dan manis saja. Kena terus terang cakap mahu atau tak. Jangan tawar menawar banyak-banyak. Pelancong Korea dan Jepun pun ada.

Hari akhir persidangan, kami dibawa melawat ke Piramid di Giza dan Sakkara. Saya dan dua lagi rakan naik kuda kat Giza...hehe. Sekejap saja dalam 20-30 minit. Dibantu oleh orang Mesir situ (muka dia macam orang kampung campuran). Depa pun buat perniagaan tu secara tak sah. Sekali sekala ada polis/tentera datang periksa dan semua lari. Selepas kami bagi balik kuda-kuda tu dan tinggalkan dia, datang seorang tentera yang jaga situ. Kami nampak macam dia minta duit sikit dari pemuda kuda tu. Kesian juga. Semua mencari duit poket untuk kehidupan. Mesir bergantung kepada sektor pelancongan. Kami pun puaslah berposing tangkap gambar untuk mengambil pengajaran dan memahami situasi zaman firaun dengan memasuki piramid-piramid dan bangunan yang dibina keluarga firaun.

Di Sakkara, kami di bawa masuk ke sebuah bangunan bawah tanah, macam kuil/kubur keluarga firaun. Di dinding ada lukisan dan juga senibina tersendiri. Pemandu pelancong beri taklimat ringkas tapi masih diragui faktanya. Kami semua mendengar macam berminat saja tapi tak ambil kisah sangat. Semasa di pintu keluar, semua diminta LE1 seorang untuk diberi kepada penjaga kuil/kubur situ. Banyak jugalah dia dapat dari satu kumpulan pelancong. Kalau sehari ada 20-30 kumpulan. Lumayan. Mungkin duit tu dikongsi dengan rakan-rakan lain.

Untuk masuk ke Piramid Giza dan Sakkara perlu beli tiket. Rasanya dalam LE 20-30. Untuk pelajar, separuh harga. Semasa ke Sakkara, jauh juga dari Giza, kami melalui kampung-kampung yang lengang dan nyaman. Air terusan/parit nampak hitam seolah-olah tercemar. Tiga van kesemuanya kumpulan kami. Lepas, keluar dari Sakkara, kami singgah ke tempat perusahaan buat permaidani berdekatan. Kemudian, terus ke restoran berdekatan situ juga. Ada yang makan dan juga tidak. Keletihan, kami bertolak pulang ke hotel. Ada satu keluarga orang Mesir pun ikut van kami.

Semasa di Doqqi, saya suka berjalan-jalan sekitar kawasan situ untuk melihat kehidupan orang Mesir di situ siang dan malam. Kawasan situ baru dibangunkan tapi tahap kebersihan masih kurang. Pasar-pasar tepi jalan saja. Kereta sorong. Sepanjang jalan El-Tahrir tu banyak kedai-kedai menjual bermacam-macam jualan termasuk kedai cenderahati. Ada satu malam tu saya dan pensyarah UKM tu bertanya seorang penjual majalah tepi jalan El-tahrir untuk ke Khan Al-Khalili (pasar malam yang menjual macam-macam barang harian dan juga untuk pelancong). Rasanya dia macam pening lalat (m...k sebab saya ada bau semacam saja bila dia bercakap. memang dia tak tau bahasa inggeris langsung dan saya boleh cakap bahasa arab fushah saja dan bukan bahasa pasar/harian) sebab bawa kami ke kedai cenderahati Khan Al-khalili berdekatan El-tahrir tu. Dia bawa kami naik bas. Dapat juga merasa pengalaman naik bas awam di Mesir yang penuh sesak. Setelah kami bagitau dia bukan kedai tu yang kami cari dan nak pergi ke pasar malam barulah dia faham dan bagitau kami tempat tu agak jauh. Tapi, kami cuba pergi juga. 

Kami melintasi sungai dan ke pusat bandar dan tanya orang. Mereka suruh naik van (macam bas kecil) untuk ke Khan Al-Khalili. Kami pun naik dan bayar tambang macam orang Mesir. Orang di belakang serah duit kepada depan dia dan serah lagi ke depan hingga ke drebar. Tak ada penolong dia. Masing-masing saling percaya mempercayai. Bagi duit tepat. Susah kalau bagi duit besar dan minta balik baki. Drebar akan melenting jugalah.

Akhirnya kami sampai ke Khan Al-Khalili. Meriah juga. Luas kawasannya. Ada jugalah beli buah tangan sedikit. Kami pun cuba makan makanan orang Mesir kat pasar tu seperti roti, air teh, makaroni dan buah jeruk. Kemudian kami jalan-jalan ke sebelah pasar tu dan terjumpa masjid-masjid. Ramai orang ziarah masjid-masjid tu. Termasuk syiah. Saya tak ingat nama masjid tu tapi memang ada makam-makam sahabat Nabi SAW dan juga ulama di situ.

Hari-hari ke 4 dan seterusnya di dalam entri akan datang. 

Selepas habis persidangan, saya berpindah ke hostel berdekatan pusat bandar dan dekat dengan medan Tahrir dan masjid besar.