Teman setia

Memaparkan catatan dengan label UK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UK. Papar semua catatan

Sabtu, 28 Julai 2012

Masyarakat Melayu di Glasgow

Semenjak April lepas semakin ramai yang dah viva PhD mereka. Gembira mereka bila sudah viva sebab tugasan dan tanggungjawab utama mereka datang belajar di UK hampir selesai. Namun, membuat pembetulan tesis adalah perkara biasa selepas viva voce. Kemudian, bahagian yang dibetulkan dihantar semula kepada pemeriksa untuk kelulusan. Jika pemeriksa masih tak puashati, pembetulan perlu diperbaiki lagi. Akhirnya, tesis versi akhir dihantar ke fakulti sebelum senat bersidang. Konvokesyen di uni Strathclyde contohnya ada tiga sesi sepanjang tahun. Boleh pilih mana satu tarikh yang sesuai dengan kita, terutamanya yang sudah balik ke Malaysia.

Glasgow semakin kurang komuniti Melayu.

Semalam saya dijemput berbuka puasa di rumah kawan di Glasgow, junior setahun sekolah Al-Irshad. Dia dan isteri masing-masing membuat PhD di Scotland. Anak tiga orang pun perlu juga dijaga dan disekolahkan. Ada 4-5 keluarga dijemput. Tak boleh jemput ramai-ramai secara terbuka kerana rumah kecik dan susah nak masak banyak-banyak kerana dapur kecik.

Satu setengah keluarga sudah hendak balik ke Malaysia setelah habis belajar. Pensyarah UTM. Yang setengah tu sebab isterinya yang buat PhD dan baru saja hantar tesis untuk viva. Isterinya balik dengan anak lelaki kecil menaiki Emirates. Si suami perlu berada di Glasgow atas sebab yang tak dapat dielakkan.

Dua keluarga lagi masih bertungkus lumus menyiapkan tesis mereka. Isteri-isteri yang belajar. Si suami bekerja secara separuh masa disamping menjaga anak-anak bergilir-gilir. Satu keluarga lagi tu masih berdua, belum ada anak pinak. Ada juga seorang rakan yang bekerja di syarikat penghantaran barang di Manchester singgah semalaman di Glasgow setelah mengambil kereta dari Aberdeen untuk dihantar pulang ke Malaysia. Campur semua dengan anak-anak memang penuh dan riuhlah rumah kawan saya tu. Ada juga mat/minah saleh yang cerewet dengan bising atau bau-bauan masakan terutama masakan Asia yang berbau kuat dari herba-herba seperti kari.

Bermacam-macam perkara dibualkan disamping berposing depan kamera sebagai kenangan rakan-rakan yang hendak balik ke Malaysia. Entah jumpa lagi atau tidak di Malaysia kelak. Manusia susah untuk di ramalkan. Ada hari angin baik. Ada hari angin tak baik. Hari ini kawan, esok dah tak kawan. Dengar cerita orang lain yang memburukkan seseorang, maka mulalah syak wasangkanya bermaharajalela. Islam ajar kita bersangka baik dan tanya hal yang sebenar dari mulut si fulan itu sendiri. Jangan dengar berita palsu atau syak waham yang kurang kepastian. Umpat, adu domba dan fitnah boleh disebarkan dengan mudah dan oleh sesiapa saja yang berniat tak baik atau secara tak sedar.

Untuk rakan-rakan yang sudah selesai belajar diucapkan seribu tahniah diatas kejayaan dan selamat pulang ke Malaysia dan berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara serta ummah.

InsyaAllah jika diizinkan kita semua akan berjumpa semula dan bertambah erat ukhuwwah kita tanpa ada perasaan was-was syak wasangka.

Isteri saya sedang berjuang menyiapkan tesisnya di bahagian akhir iaitu penulisan. Mungkin sebulan dua lagi siap dan viva. InsyAllah jika tiada aral dalm 2-3 bulan lagi kami balik ke Malaysia. Sahabat-sahabat semua tolong doakan segalanya dipermudahkan Allah SWT kepada kami dan Allah SWT melimpahi rahmat dan rahimnya kepada kami, saudara-saudari dan semua muslim diseluruh dunia.

Amiin.

Khamis, 26 Julai 2012

Ramadhan di Uni, Wales

Teringat kembali kehidupan masa di uni buat ijazah pertama dulu. Tahun 1992 sampai di bumi UK. London tempat mula bertapak di UK. Setelah sampai di Heathrow, semua pelajar dibawa ke MSD (jabatan pelajar Malaysia) di London. Rasa macam tak percaya boleh dan dapat sampai juga ke UK.

Selepas habis taklimat di MSD, semua pelajar di bawa ke universiti masing-masing seluruh UK. Nasiblah macam saya yang pergi universiti tak ramai pelajar tajaan pergi. Saya naik keretapi ke Cardiff dan kemudian ke Ponty (nama mesra perkampungan kami di situ). Sempena nama pekannya Pontypridd. Kali pertama tengok uni memanglah syok sebab suasana baru dan sesuatu yang boleh dijelajahi dan dipelajari. Bila sampai di uni saya berhubung dengan staf yang jaga pelajar antarabangsa. Rupanya ramai pelajar-pelajar Malaysia di situ. Chandran (India Malaysia) yang bekerja dan belajar di situ, mungkin sarjana atau doktor falsafah, membawa saya dengan beg besar dengan kereta ke Cliff Terrace. Rumah saya untuk tahun pertama di uni tu.

Ramadhan pada tahun-tahun saya di uni tu dalam musim sejuk. Siang pendek dan malam panjang. Jadi, puasa pun pendek lah. Buka posa pun dalam kelas kalau hari yang ada kelas waktu maghrib tu. Untungnya masa tu ramai senior pompuan yang terer masak sedap-sedap. Saya mengaku memang tak tau masak masa tu. Ada juga cuba-cuba gilir masak dengan kawan serumah tapi saya main campak ja dan tak sedap.

Tradisi di ponty, setiap rumah ambil giliran memasak untuk berbuka di surau uni. Ada juga yang berkongsi 1-2-3 rumah sekali memasak untuk iftar jama'i. Kalau giliran pompuan masak, ummppph memanglah sedap. Hat laki biasanya berkongsi 2-3 rumah sekali buat jamuan. Rumah saya memang tak pandai masak banyak-banyak. Rasanya masak gulai ayam kot...Najmi lah yang paling terer masak. Saya tukang makan saja...haha. Saya tolong potong-memotong sayur dan basuh ayam, ok....ada jugalah air tangan melekat kat situ...hehe

Komuniti Brunai pun ramai di ponty. Depa pun sama tumpang sekaki ambil giliran memasak dan jamu iftar. Pelajar pakistan pun masuk juga. Tak lupa juga komuniti arab dan sorang Somali (Abdullah). Pak arab yang baik dengan pelajar melayu lepas berbuka tu adalah Abud dan (ingat2 lupa nama sorang lagi sat). Ha...Syakil nama dia. Depa dari Arab Saudi. Lepas berbuka mesti lepak tepi pintu keluar bangunan atau bilik kongsi (common room) untuk sesi cerobong asap (merokok lah tu). Sambil sembang-sembang. Ada sorang pak arab buat PhD tu taja kurma kering dalam tin dari Arab Saudi. Dia duk Cardiff, ulang-alik ke Ponty. Ada sorang pensyarah arab tu dia tinggal di Cardiff tapi sekali sekala datang juga waktu berbuka dan taraweh. Ada juga sorang pelajar bangladesh dan sorang pelajar PhD dari Iraq. Tahun kedua saya di situ barulah ada seorang pelajar PhD dari Algeria.

Memang seronok dan akrab buka posa jama'i masa tahun pertama. Tahun kedua sudah kurang suasana meriah bila senior2 dan seniorita yg glamer (mcm nama uni) dah balik. Tahun kedua macam cincai sikit tapi ok lah juga daripada tak ada langsung. Tahun kedua tu lah pak arab dari Algeria tu ambil alih jadi imam taraweh. Pegang Al-Quran sambil baca, Kemudian dia buat moreh jamu gula-gula dan manisan lepas taraweh.

Ponty tak ramai komuniti muslim macam Cardiff yang ada masjid. Jadi, pelajar semua tumpu ke surau uni yang disediakan untuk semua aktiviti. Jumaat pun dibuat disitu. Juga solat Hari Raya Aidil Fitri dan Adha. Selepas solat hari raya, kami semua berposing bergambar beramai-ramai sebagai kenang-kenangan. 

Kini, majoriti bekas pelajar Ponty sudah berjawatan besar samada di sektor awam atau swasta dan juga persendirian sebagai timbalan perdana menteri dalam rumah sendiri menjaga hal ehwal rumahtangga.

Ahad, 22 Julai 2012

1 Ramadhan - Buka puasa dan taraweh

Hari ini berbuka di masjid besar (disini dipanggil central mosque). Ahli jawatankuasa masjid ini dikuasai oleh hampir keseluruhan keturunan pakistan di Glasgow. Memang orang pakistan sangat ramai di UK. Orang arab tak ramai sangat. Kaum-kaum lain lagilah sikit bilangannya. Oleh kerana ia di tadbir oleh ajk orang pakistan maka ia adalah replika suasana di pakistan itu sendiri. Cuma bentuk masjid dan sistem undang-undang saja mengikut sistem UK.

Sebelum ini, saya pergi solat jumaat di SUMSA. Tapi, sejak kebelakangan ini saya telah pergi ke masjid besar ini kerana bukan pelajar tak dibenarkan solat jumaat di SUMSA bermula November 2011. 

Kami sampai 40 minit awal sebelum waktu berbuka pada pukul 9.50 malam. Apabila saya masuk ke dalam masjid, ada ramai juga hadirin yang telah sampai dan menunggu didalam. Ada yang membaca al-quran, solat dan zikir. Ada juga yang menunggu saja di tepi-tepi dinding di belakang dan tepi dewan solat bersama-sama rakan mereka. Dua puluh minit sebelum waktu berbuka, saya lihat hamparan telah dibuka dihujung dewan solat berdekatan pintu tempat wudhuk. 

Agak sama dengan di masjid Nabawi dan Haram. Hamparan plastik putih dibuka memanjang dalam 5 barisan. Kemudian susu, air putih/minum dan kurma diletak diatas plastik hamparan itu. Ada 3-4 orang yang ditugaskan menyediakan iftar ringkas itu. Semakin ramai hadirin yang datang menunggu waktu berbuka. Lima minit sebelum azan, semua dijemput mengambil tempat masing-masing. Semua jenis kaum dan negara dapat dilihat disini.
Masjid Nabawi, Madinah Almunawwarah
Setelah muazzin mula bang/azan, semua mula berbuka samada dengan kurma/tamar, susu atau air. Saya menjamah dua biji kurma dan secawan susu. Cukup. Hadirin mula beransur ke ruang solat menunggu solat maghrib.
Masjid Haram Makkah Almukarramah

Selepas solat maghrib, ramai yang solat sunat selepas maghrib. 2-4 rakaat. Kemudian, semua keluar menuju ke dewan banquet/makan bersebelahan masjid dimana segala majlis di adakan disitu sepanjang tahun. Pintu masih berkunci. Kaum wanita dibenarkan masuk dulu ke dewan melalui pintu belakang. Kemudian, kaum lelaki mula beransur masuk ke dewan. Kasut dibuka dan diletak diluar. 

Hamparan plastik putih juga tersedia didalam dewan sebelah dapur untuk kaum lelaki. Kaum wanita di sebelah penjuru sana. Semua diminta memenuhi ruang di baris pertama dulu dan seterusnya. Saya duduk bersama beberapa rakan Malaysia yang lain dan juga seorang afrika. Bersebelahan saya mungkin orang Kurdish. Kurdish pun semakin ramai di Glasgow.

Kami dihidangkang dengan nasi kacang kuda (nasi pakistan) dan gulai ayam (pakistan). Roti nan juga ada. Memang sedap roti nan tu. Makanan semua mencukupi dan ada tambahan pula. Tidak berebut-rebut. Ada kawan kata mungkin sebab hari pertama tak ramai yang datang.

Selesai makan, saya ke dewan solat. Ada beberapa adik-adik pelajar Malaysia lelaki juga datang. Mereka pun menuju ke dewan solat selepas makan. Ada juga beberapa kawan yang makan sekali pulang kerumah masing-masing kerana membawa anak-anak kecil. Tidak selesa menganggu jemaah lain beribadah.

Selepas solat isyak pukul 11.00 malam, taraweh bermula pukul 11.15 malam. Imam 1 mengetuai taraweh. Dua puluh rakaat dan tiga rakaat witir (satu salam). Imam hafiz. Sangat cepat bacaannya. Sebelah kiri saya pakcik pakistan mungkin dekat 70 atau 70an. Masih kuat dan bersemangat. Beliau menjamah makanan yang dibawa anaknya disaf pertama itu tanpa menghiraukan jemaah lain. Sebelah kanan saya tak pasti pula samada orang dari Iran atau Iraq tetapi rasanya bukan arab. Dia mengaminkan bila imam habis baca al-fatihah. Pakistan tak ucap amin dengan kuat. Dia juga mengangkat takbir bila rukuk dan iktidal. Semasa menunggu solat isyak, dia nampak macam sedang mengulangkaji hafalan al-quran kerana ada masa dia membuka al-quran kecil dia.

Memang kuat dan bersemangat orang pakistan dan lain-lain beribadah. Bukan saja di bulan ramadhan. Di Malaysia juga, trend ini semakin meningkat di bandar-bandar besar. Perbezaan mazhab tidak diperbesarkan. Soal bid'ah membid'ah juga tak timbul di masjid-masjid pakistan bermazhab hanafi. Mereka bijak menangani isu-isu ini.

Pukul 12.35 pagi selesai solat taraweh dan witir. Ada juga yang menyambung solat lain dan ramainya mula beransur bersurai. Golongan muda pun ramai dan bersalaman sesama rakan-rakan mereka.

Sampai rumah pukul 1.00 pagi dan menulis blog.....

Taraweh Hari Pertama

Di SUMSA, Universiti Strathclyde, Glasgow, Sotland

SUMSA adalah surau yang ditubuhkan dan diuruskan oleh pelajar-pelajar universiti Strathclyde. Dengar cerita, uni bagi SUMSA atas permintaan wakil pendidikan malaysia kerana ramai orang malaysia di uni ni dulu. Tapi sekarang ini nampaknya seperti di boloti oleh arab mesir. Orang mesir ni lebih ekspresif, tegas dan mahu menjadi ketua dalam agama. Kira 'politik' juga lah.

Hari pertama taraweh. Hanya separuh dewan saja yang memenuhi ruang solat. Tahun lepas, penuh dewan. Tak tahu pasal apa kurang orang tahun ini. (Mungkin kerana bukan pelajar tak dibenarkan solat Jumaat di SUMSA bermula November 2011 dan kerana itu jemaah berkurangan).

Bermula dari 11.00 malam hingga 12.15 pagi. Dua imam. Dimulakan dengan imam tua (mungkin pensyarah atau pelajar pascagraduan yang matang....mungkin dekat 50an). Imam nombor dua nampak muda. Mungkin dalam awal 20an. Dua-dua hafiz. Tak pasti negara mereka. Mungkin mesir yang iman 1. Imam 2 mungkin negara lain. Lapan rakaat. Tambah 2+1 witir oleh imam 3. Imam 3 ni selalu nampak dia dari tahun lepas lagi. Mungkin belum habis pembelajaran dia.

Semasa hendak mulakan taraweh, imam menyuruh makmum bangun dan bersedia untuk taraweh. Tiada zikir, salawat dan doa sepanjang 8 rakaat. Selepas 4 rakaat, imam berhenti sekejap beberapa minit memberi masa untuk rehat kepadanya dan makmum. Kemudian ada seorang makmum membahagikan air minuman dalam botol mineral tu kepada setiap hadirin. Selepas itu, taraweh disambung imam 2. Bacaan cepat dan pantas juga. Ada sedikit kesilapan sana-sini. Biasalah. Manusia.

Selepas habis taraweh dan witir. Bersurai.

Tiada moreh.

Ramadhan di UK

Entri pertama.


Muslim di UK mula berpuasa pada hari Jumaat dan Sabtu. England dan Ireland mula hari jumaat dan Scotland mula hari Sabtu. Tidak dijelaskan dengan terperinci sebab-sebab perbezaan. Lazimnya kita mengetahui ada tiga kaedah menentukan tarikh 1 Ramadhan dan 1 Syawal iaitu: Rukyah, hisab dan ilmu falak. Ilmu falak tidak digunakan oleh kebanyakan negara dan tempat. Jika ilmu falak menjadi kaedah utama maka semua negara islam boleh meraikan 1 Ramadhan dan 1 Syawal pada hari yang sama. Ini kerana ilmu falak lebih tepat dari mata kasar kita.


Di Malaysia juga bermula puasa hari Sabtu. begitu juga Oman. Tetapi Indonesia dan negara Mesir dan Jordan mula berpuasa hari Jumaat.


Kita semua berharap pada satu hari nanti, semua negara islam dan muslim boleh berpuasa pada 1 Ramadhan yang sama dan berhari raya pada 1 Syawal yang sama walaupun kita berbeza lokasi negara.



Cara Menetapkan Anak Bulan Ramadhan

Kewajipan puasa ke atas umat Islam bermula pada tahun 2 Hijrah. Nabi Muhammad SAW melakukannya ibadah puasa di bulan Ramadhan sebanyak 9 kali sebelum wafat pada tahun ke-11 Hijrah iaitu 11 Rabiulawal.[1]

Cara menetapkan anak bulan Ramadhan dengan 3 kaedah iaitu:

1)      Melihat anak bulan (nampak anak bulan Ramadhan)
2)      Menyempurnakan bulan Syaaban sebanyak 30 hari
3)      Ilmu falak
Cara yang ketiga (menggunakan ilmu falak) tidak berlaku pada zaman Nabi SAW kerana pada ketika itu penyusunan ilmu falak masih belum wujud. Cara pertama dan kedua sahaja yang pernah digunakan pada zaman Nabi SAW.

Dalil yang menyatakan bahawa untuk mengistinbatkan (menetapkan) datangnya anak bulan Ramadhan melalui melihat atau penyaksian berdasarkan kepada hadis berikut :

Sesungguhnya Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma telah melihat anak bulan. Maka beliau memberitahu kepada Rasulullah SAW berkenaan dengan apa yang dilihatnya itu. Maka Rasulullah SAW menyuruhnya untuk berpuasa dan mengarahkan orang ramai (umat Islam) berpuasa.[2]

Firman Allah SWT :

"Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa.” (Surah Al-Baqarah: 185)

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Nabi SAW bersabda :

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ

"Berpuasalah kamu sekiranya nampak anak bulan (Ramadhan), dan berbukalah apabila nampak anak bulan (Syawal). Maka sekiranya gelap (tidak kelihatan anak bulan Ramadhan) cukupkanlah bulan Syaaban itu 30 hari.” (Bukhari)

Daripada Ibnu Abbas berkata, “Telah datang seorang lelaki Arab kepada Nabi SAW lalu berkata :

إِنِّي رَأَيْتُ الْهِلَالَ يَعْنِي رَمَضَانَ فقال أَتَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إلا الله قال نَعَمْ قال أَتَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رسول اللَّهِ قال نَعَمْ قال يا بِلَالُ أَذِّنْ في الناس فَلْيَصُومُوا غَدًا

‘Sesungguhnya aku telah melihat anak bulan Ramadhan.’ Nabi SAW bertanya, ‘Adakah kamu menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah?’ Jawab lelaki tadi, ‘Ya.’ Baginda SAW bertanya lagi, ‘Adakah kamu menyaksikan bahawa aku pesuruh Allah?’ Jawabnya, ‘Ya.’ Sabda Baginda SAW, ‘Wahai Bilal, laungkan khabar ini kepada orang ramai (umat Islam) untuk berpuasa esok.” (Abu Daud)

Apakah Syarat Bagi Orang Yang Melihat Anak Bulan?

Penyaksian bagi menetapkan kedatangan Ramadhan memadai dengan seorang lelaki yang adil. Berbeza dengan penyaksian-penyaksian yang lain seperti zina yang memerlukan kepada empat orang saksi, penyaksian bagi membuktikan seseorang minum arak adalah 2 orang dan lain-lain lagi.

Bagi menetapkan anak bulan Ramadhan, memadai dengan seorang saksi lelaki yang adil sahaja berbanding dengan 2 contoh yang dibawakan di atas kerana penyaksian yang menetapkan anak bulan Ramadhan melibatkan ibadah-ibadah tertentu iaitu puasa, solat terawih dan sebagainya. [3]

Berbeza dengan zina ia melibatkan hak Allah SWT iaitu hudud. Begitu juga peminum arak kerana melibatkan hukum hudud, maka disyaratkan saksi lebih daripada seorang supaya lebih berjaga-jaga dan tidak berlaku penipuan yang menyebabkan individu yang tertuduh dizalimi.
Bahkan Ibnu Rif'ah dan Ibnu Muqri[4] mengatakan bahawa mana-mana penyaksian yang melibatkan ibadat-ibadat pada sesuatu bulan itu maka memadai dengan seorang saksi lelaki yang adil sahaja.

Maka, di dalam Mazhab Syafi'e memadai seorang saksi sahaja bagi menetapkan kedatangan Ramadhan berserta beberapa syarat yang dikenakan ke atas saksi tadi iaitu:

1-      Lelaki.
2-      Adil.
3-      Merdeka.
4-      Ar-Rusyd – orang yang pandai menguruskan perkara yang melibatkan harta.
5-      Menjaga maruah.
6-      Melihat anak bulan dalam keadaan yang terjaga.
7-      Boleh bercakap.
8-      Boleh mendengar.
9-      Boleh melihat.
10-  Tidak melakukan dosa besar.
11-  Tidak berterusan melakukan dosa kecil.
Syarat adil memadai dengan 'adalah zohirah iaitu memadai kita mengetahui seseorang saksi tersebut dengan perwatakan yang baik tanpa memerlukan intipan dan penelitian yang rumit sama ada seseorang saksi itu benar-benar adil atau tidak. Ini sebagaimana yang tercatat di dalam kitab-kitab feqah Mazhab Syafi'e.

Waktu untuk melihat anak bulan ialah pada 29 Syaaban malam ke-30.


Menyempurnakan Bulan Syaaban Sebanyak 30 Hari

Cara yang kedua dalam menetapkan kedatangan Ramadhan ialah dengan kita mencukupkan bilangan hari di dalam bulan Syaaban sebanyak 30 hari. Hal ini kerana bulan-bulan di dalam Islam itu sama ada 29 hari atau 30 hari dalam sebulan. Maka jika cara pertama iaitu dengan melihat anak bulan Ramadhan pada 29 Syaaban malam ke-30, hasilnya anak bulan kelihatan maka wajib berpuasa pada keesokannya. Jika tidak, hendaklah dicukupkan bulan Syaaban itu sebanyak 30 hari.

Dalil yang digunakan dalam pelaksanaan cara yang kedua ini ialah:

Daripada Ibnu Umar radiallahu ‘anhum berkata, Nabi SAW bersabda :

الشَّهْرُ تِسْعٌ وَعِشْرُونَ لَيْلَةً فلا تَصُومُوا حتى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعِدَّةَ ثَلَاثِينَ

"Sebulan itu 29 hari. Maka jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan. Maka sekiranya mendung atau gelap (yakni anak bulan tidak kelihatan) maka cukupkan bulan tersebut sebanyak 30 hari." (Bukhari)

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Nabi SAW bersabda :

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ

"Berpuasalah kamu sekiranya nampak anak bulan (Ramadhan), dan berbukalah apabila nampak anak bulan (Syawal). Maka sekiranya gelap (tidak kelihatan anak bulan Ramadhan) cukupkanlah bulan Syaaban itu 30 hari." (Bukhari)
Justeru, cara kedua ini iaitu mencukupkan bilangan bulan Syaaban sebanyak 30 hari selepas melihat anak bulan pada 29 Syaaban, maka apabila kelihatan anak bulan maka wajib berpuasa pada keesokkannya dan bulan Syaaban dikira hanya 29 hari sahaja. Jika tidak kelihatan, maka, cukupkan bulan Syaaban sebanyak 30 hari. Hal ini demikian juga ijma' daripada ulama berdasarkan dalil-dalil yang lepas bahawa bulan di dalam Islam itu sama ada 29 hari atau 30 hari.


Ilmu Falak

Kaedah ilmu falak dalam penentuan sesuatu bulan di dalam Islam merupakan satu susunan ilmu moden yang diguna pakai pada zaman sekarang. Kaedah ini tidak digunakan pada kurun-kurun yang lepas. Kaedah ilmu falak ini bukan sekadar menentukan bulan Ramadhan sahaja, bahkan juga menentukan semua bulan berdasarkan kiraan falak. Begitu juga sekarang dengan waktu solat, boleh dikatakan rata-rata menggunakan kaedah falak berdasarkan takwim solat yang telah tersedia ada, tanpa perlu mengukur bayang-bayang dalam setiap kali menentukan waktu solat.

Kebanyakkan ulama menerima akan kaedah ini kerana ketepatan dan mudah dalam menentukan sesuatu urusan yang melibatkan ilmu-ilmu falak dan astronomi selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat.

Namun, pada mulanya ada juga segelintir ulama yang kurang menerima pakai kaedah ilmu falak. Mereka mengkrtitik bahawa kaedah ini tidak memberikan suatu hasil secara tepat bahkan ia hanya satu anggaran atau tekaan sahaja. Bagi mereka, cukup dengan 2 cara sebagaimana yang digunakan pada zaman Nabi SAW iaitu melihat anak bulan. Sekiranya anak bulan tidak kelihatan maka sempurnakan bulan Syaaban sebanyak 30 hari.

Bahkan mereka menghujahkan riwayat Ibnu Umar radiallahu ‘anhum bahawa Nabi SAW bersabda :

إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ لَا نَكْتُبُ ولا نَحْسُبُ الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا

“Sesungguhnya kami adalah kaum yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis), kami tidak tahu menulis dan menghitung akan sesuatu bulan itu dan ini iaitu sama ada 29 hari atau 30 hari.” (Bukhari dan Muslim)

Namun begitu, hujah mereka tertolak. Hujah yang mereka bawakan merupakan hujah ke atas mereka. Nabi SAW hanya  menerangkan keadaan pada zaman baginda SAW. Walau bagaimanapun, baginda tidak menafikan kaedah ilmu falak yang bersesuian mengikut zamannya. Mereka menggunakan cara melihat anak bulan dan mencukupkan bulan Syaaban 30 hari kerana 2 cara tersebut merupakan cara mudah pada waktu tersebut.

Bahkan jika diteliti dalam sabda Nabi SAW, sedikit pun tidak menegah apa-apa cara yang baru sekiranya manusia pada waktu tertentu mahir dengan kaedah tersebut. Misalnya, kaedah ilmu falak.

Hasilnya, manusia zaman sekarang sama ada ulama dan ahli sains masing-masing mengguna pakai kaedah tersebut dengan berpandukan kaedah agama.


Menyelaraskan Awal Ramadhan Pada Hari Yang Sama

Perbezaan bagi setiap negara Islam dalam menyambut kedatangan anak bulan Ramadhan merupakan satu perbincangan sejak zaman dahulu lagi. Hal ini disebabkan kerana walaupun kesemua negara Islam khususnya di Tanah Arab menyambut kedatangan 1 Syaaban pada hari yang sama, namun sambutan 1 Ramadhan tetap berlaku perbezaan di antara negara-negara Islam.

Hal ini demikian kerana ia bergantung kepada kaedah yang diguna pakai oleh setiap negara dalam menetapkan anak bulan Ramadhan. Tidak semua yang menggunakan kaedah ilmu falak bahkan menetapkan bahawa menetapkan anak bulan Ramadhan hanya dengan penyaksian kerana jelas Nabi SAW bersabda menggunakan perkata ‘melihat’. Justeru, tidak semua yang melakukan kaedah ilmu falak dalam menetapkan 1 Ramadhan. Hasilnya berlakulah perbezaan sambutan awal Ramadhan seterusnya perayaan Hari Eidul Fitri walaupun jarak keseluruhan negara-negara Islam yang berada di hujung Timur dan hujung Barat hanya dalam lingkungan tempoh 9 jam iaitu kesemua negara Islam berada dalam satu malam yang sama.[5]

Majoriti ulama bersetuju dan sepakat bahawa penggunaan ilmu falak juga dikira sebagai ‘melihat’ atau ‘menyaksikan’ sebagaimana yang terdapat dalam lafaz hadis berkenaan kedatangan anak bulan Ramadhan.[6] Maka kaedah ilmu falak ini juga dilihat sebagai satu satu cara untuk menyelaraskan sambutan awal Ramadhan dan 1 Syawal di setiap negara Islam. Hal ini demikian kerana keselarasan dan kesatuan dalam sambutan 2 tarikh yang besar ini akan memberikan kemudahan kepada orang awam dalam ibadah puasa terutama yang selalu ke luar negara dan menjadikan kesatuan umat Islam dilihat dengan sambutan hari kebesaran dalam Islam pada hari yang sama.

Berkenaan dengan keselaran sambutan awal Ramadhan ini, Syeikh Atiyah Saqar ada membicarakan di dalam kitab fatwanya bahawa perkara ini mendapat perhatian serius oleh ulama sedunia dan Al-Azhar melalui Akademi Kajian telah melakukan perbincangan dalam muktamarnya yang ke-3 yang berlangsung pada tahun 1966. Hasilnya, satu ketetapan cadangan dikemukan bagi merealisasikan keselarasan sambutan awal Ramadhan dalam menjaga kesatuan umat Islam. Antara ketetapan cadangan tersebut ialah :

1-      Kaedah penyaksian merupakan kaedah asal bagi melihat anak bulan sebagaiaman yang dinyatakan dalam hadis Nabi SAW, namun penyaksian tersebut tidak diterima sekiranya terdapat keraguan yang kuat pada penyaksian itu.
2-      Kaedah penyaksian anak bulan diterima pakai apabila berita penyaksian tersebut tersebar (masyarakat negara tersebut juga melihat anak bulan dan tidak ada yang menafikannya) dan tidak ada sebarang unsur yang diragui atau penipuan. Hal ini berbeza dengan kaedah ilmu falak, bahawa pengumuman yang dikeluarkan oleh adalah dipercayai (tanpa memerlukan kepada masyarakat setempat tidak menafikannya). Bermakna maklumat hasil kaedah ilmu falak lebih dipercayai.
3-      Perbezaan tidak dikira ke atas negara-negara Islam yang berkongsa tempoh waktu malam pada hari yang sama. Perbezaan yang diiktibar hanyalah negara-negara yang tidak berkongsi tempoh waktu malam pada malam yang sama.
4-      Setiap negara Islam mestilah berbincang dan menghubungi di antara satu sama lain dalam menetapkan sesuatu tarikh berdasarkan bulan Islam (termasuk awal Ramadhan) dengan kemudahan teknologi yang sedia ada dan menyeleraskan maklumat ilmu falak.[7]
Syeikh Ali Jumaah, mufti Mesir menyebutkan bahawa penggunaan kaedah ilmu falak lebih membawa kepada hasil yang yakin berbanding dengan sekadar penyaksian individu. Beliau mengeluarkan fatwa tersebut dengan menyandarkan jawapan beliau kepada Imam Subki dalam permasalahan apabila berlaku pertembungan maklumat antara penyaksian dan maklumat ilmu falak.[8]  Secara ringkas, apabila berlaku percanggahan sebagaimana masalah yang disebutkan tadi, adalah lebih baik untuk mengambil kaedah kiraan ilmu falak kerana ia merupakan benda yang jelas (yakin) dan tepat berbanding kaedah melihat kerana kaedah melihat anak bulan tidak sampai tahap yang yakin. Maka apabila benda bertembung di antara benda yang jelas (yakin) dan sangkaan maka diutamakan benda yang jelas (yakin).

Sebaik-baiknya (seperti zaman sekarang) menggabungkan di antara 2 kaedah ini, walaupun mengikut ilmu falak tarikh bagi awal bulan Ramadhan mungkin sudah diketahui, namun pada 29 Syaaban pada malam ke-30, kaedah melihat anak bulan tetap dijalankan bagi lebih meyakinkan dan mengambil sunnah Nabi SAW.

Dengan adanya kaedah ini (kiraan falak), keselarasan dalam penentuan permulaan bulan Islam dapat dilaksanakan, memandangkan tempoh yang paling jauh di antara satu negara Islam ke satu negara Islam yang di dunia hanya 9 jam. Hal ini menjadikan negara-negara Islam kesemuanya berkongsi sebahagian daripada waktu malam pada hari yang sama. Hasilnya, kedatangan awal Ramadhan dapat diselaraskan dan dapat disatukan di antara kesemua negara Islam, memadai dengan hanya satu negara Islam seperti Mekah (kerana Mekah pusat negara Islam dan berada di tengah bumi yang membezakan Timur dan Barat) sahaja yang melihat anak bulan, kemudian negara tersebut mengkhabarkan kepada negara-negara Islam yang lain dengan kemudahan yang sedia ada seperti telefon, faks dan internet.[9]

Ini merupakan hasil cadangan yang dilakukan oleh para ulama terutama di peringkat Dar Ifta’, Mesir yang meletakkan priority kaedah ilmu falak lebih meyakinkan. Apa pun ia bergantung kepada setiap negara Islam yang memilih kaedah yang bersesuaian bagi negara mereka. Namun apa yang lebih baik ialah sebagaimana yang telah dinyatakan di atas iaitu keselarasan dalam sambutan awal Ramadhan dan 1 Syawal kerana dengan keselarasan ini akan lebih menampakan kekuatan kesatuan umat Islam di seluruhb negara. Bahkan keselarasan ini tidak mustahil kerana setiap negara Islam berkongsi tempoh waktu malamnya pada hari yang sama. Dan bagaimana mungkin negera yang berkongsi waktu malam yang sama boleh menyebabkan perbezaan sambuatan satu-satu tarikh dengan kadar beza ialah satu hari? Maka seeloknya setiap negara Islam terus berbincang mengenai perkara ini dan menjadikan ia sebagai titik kesatuan bagi setiap negara Islam dalam sambutan hari-hari kebesaran dalam Islam.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012
Rujukan :

1-      Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, cetakanb Maktabah Wahbah
2-      Al-iqh Al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar Al-Fikr
3-      Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan, Syeikh Ali Jumaah, cetakan Al-Muqattam Li An-Nasyr Wa At-Tauzik
4-      At-Taqrirat As-Sadidah Fi Al-Masail Al-Faridah, Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhamad Al-Kaff, cetakan Dar Al-Mirath An-Nabawiah
Sumber: PMRAM


[1]   مجموع   jild ke-6 dan رد المختار   jilid ke-2
[2]  Riwayat Abu Daud dan ditashihkan oleh Ibnu Hibban – rujuk kitab الفقه الإسلامي وأدلته  jilid ke-3 bab puasa di bawah perbahasan cara mengistinbatkan bulan Ramadhan dan Syawal.
[3]  Rujuk Hasyiah Bijuri jilid ke-2 di bawah tajuk الأقضية والشهادات .
[4]  Rujuk Hasyiah Bijuri jilid ke-2 di bawah tajuk الأقضية والشهادات .
[5] Kitab Syeikh Muhammad Abu Al-'Ala Al-Banna – Rujuk الفقه الإسلامي وأدلته   jilid ke-3 bab puasa di bawah perbincangan tempat terbit matahari yang berlainan negara.
[6]  Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, m/s 29 cetakan Maktabah Wahbah
[7] Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, m/s 30 cetakan Maktabah Wahbah
[8]  البيان لما يشغل الأذهان   karangan Syeikh Ali Jumaat.
[9] Kitab Syeikh Muhammad Abu Al-'Ala Al-Banna – Rujuk الفقه الإسلامي وأدلته   jilid ke-3 bab puasa di bawah perbincangan tempat terbit matahari yang berlainan negara.