Teman setia

Sabtu, 28 Julai 2012

Masyarakat Melayu di Glasgow

Semenjak April lepas semakin ramai yang dah viva PhD mereka. Gembira mereka bila sudah viva sebab tugasan dan tanggungjawab utama mereka datang belajar di UK hampir selesai. Namun, membuat pembetulan tesis adalah perkara biasa selepas viva voce. Kemudian, bahagian yang dibetulkan dihantar semula kepada pemeriksa untuk kelulusan. Jika pemeriksa masih tak puashati, pembetulan perlu diperbaiki lagi. Akhirnya, tesis versi akhir dihantar ke fakulti sebelum senat bersidang. Konvokesyen di uni Strathclyde contohnya ada tiga sesi sepanjang tahun. Boleh pilih mana satu tarikh yang sesuai dengan kita, terutamanya yang sudah balik ke Malaysia.

Glasgow semakin kurang komuniti Melayu.

Semalam saya dijemput berbuka puasa di rumah kawan di Glasgow, junior setahun sekolah Al-Irshad. Dia dan isteri masing-masing membuat PhD di Scotland. Anak tiga orang pun perlu juga dijaga dan disekolahkan. Ada 4-5 keluarga dijemput. Tak boleh jemput ramai-ramai secara terbuka kerana rumah kecik dan susah nak masak banyak-banyak kerana dapur kecik.

Satu setengah keluarga sudah hendak balik ke Malaysia setelah habis belajar. Pensyarah UTM. Yang setengah tu sebab isterinya yang buat PhD dan baru saja hantar tesis untuk viva. Isterinya balik dengan anak lelaki kecil menaiki Emirates. Si suami perlu berada di Glasgow atas sebab yang tak dapat dielakkan.

Dua keluarga lagi masih bertungkus lumus menyiapkan tesis mereka. Isteri-isteri yang belajar. Si suami bekerja secara separuh masa disamping menjaga anak-anak bergilir-gilir. Satu keluarga lagi tu masih berdua, belum ada anak pinak. Ada juga seorang rakan yang bekerja di syarikat penghantaran barang di Manchester singgah semalaman di Glasgow setelah mengambil kereta dari Aberdeen untuk dihantar pulang ke Malaysia. Campur semua dengan anak-anak memang penuh dan riuhlah rumah kawan saya tu. Ada juga mat/minah saleh yang cerewet dengan bising atau bau-bauan masakan terutama masakan Asia yang berbau kuat dari herba-herba seperti kari.

Bermacam-macam perkara dibualkan disamping berposing depan kamera sebagai kenangan rakan-rakan yang hendak balik ke Malaysia. Entah jumpa lagi atau tidak di Malaysia kelak. Manusia susah untuk di ramalkan. Ada hari angin baik. Ada hari angin tak baik. Hari ini kawan, esok dah tak kawan. Dengar cerita orang lain yang memburukkan seseorang, maka mulalah syak wasangkanya bermaharajalela. Islam ajar kita bersangka baik dan tanya hal yang sebenar dari mulut si fulan itu sendiri. Jangan dengar berita palsu atau syak waham yang kurang kepastian. Umpat, adu domba dan fitnah boleh disebarkan dengan mudah dan oleh sesiapa saja yang berniat tak baik atau secara tak sedar.

Untuk rakan-rakan yang sudah selesai belajar diucapkan seribu tahniah diatas kejayaan dan selamat pulang ke Malaysia dan berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara serta ummah.

InsyaAllah jika diizinkan kita semua akan berjumpa semula dan bertambah erat ukhuwwah kita tanpa ada perasaan was-was syak wasangka.

Isteri saya sedang berjuang menyiapkan tesisnya di bahagian akhir iaitu penulisan. Mungkin sebulan dua lagi siap dan viva. InsyAllah jika tiada aral dalm 2-3 bulan lagi kami balik ke Malaysia. Sahabat-sahabat semua tolong doakan segalanya dipermudahkan Allah SWT kepada kami dan Allah SWT melimpahi rahmat dan rahimnya kepada kami, saudara-saudari dan semua muslim diseluruh dunia.

Amiin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan