Teman setia

Isnin, 30 Julai 2012

Adakah semua bid'ah itu sesat (dholalah)......???

[NB: Sekadar perkongsian]
 
Ini adalah pertanyaan yang berlegar di fikiran ramai terutama anak muda yang baru mendalami islam.

  Menurut pendapat As Sayyid Muhammad bin Alawiy Al Maliki Al Hasani (Mufti Mekkah) dalam makalahnya yang berjudul "Haulal-Ihtifal Bil Maulidin Nabawiyyisy Syarif" atau dalam bahasa Malaysianya "Sekitar Peringatan Maulid Nabi Yang Mulia' bahawa menurut ulama, bid'ah itu dibahagi kepada lima (5) kategori iaitu:

1. Bid'ah wajib: Seperti menyanggah orang yang menyelewengkan agama, dan belajar bahasa Arab, khususnya ilmu Nahu.

2. Bid'ah mandub/boleh: Seperti membentuk ikatan persatuan kaum muslimin, mengadakan sekolah-sekolah, mengumandangkan azan di atas menara dan menggunakan pengeras suara, berbuat kebajikan yang pada masa pertumbuhan Islam belum pernah dilakukan orang.

3. Bid'ah makruh: menghias masjid-masjid dengan hiasan-hiasan yang tidak pada tempatnya, mendekorasi kitab-kitab Al Quran dengan lukisan-lukisan dan gambar-gambar yang tidak semestinya.

4. Bid'ah mubah: Seperti menggunakan saringan (ayakan), makan dengan sudu dan garpu dll.

5. Bid'ah haram: Semua perbuatan yang tidak sesuai dengan dalil-dalil umum hukum syariat dan tidak mengandungi kemaslahatan yg dibenarkan oleh syariat.

Bila semua bid'ah dholalah atau haram, maka sebahagian amalan-amalan para sahabat serta ulama-ulama yang akan saya huraikan dibawah ini, yang mana oleh Rasulullah SAW tidak dijalankan atau diperintahkan, semuanya dholalah/haram.

Umpamanya: Bila semua bid'ah haram maka pengumpulan ayat-ayat Al Quran, penulisannya serta pembukuannya (kodifikasinya) sebagai Mushaf (Kitab) yang dilakukan oleh Saidina Abu bakar, Umar bin Khattab dan Zaid bin Tsabit radhiallahu anhum adalah haram. Padahal tujuan mereka adalah untuk menyelamatkan dan melestarikan keutuhan dan ketulenan (autentik) ayat-ayat Allah. Mereka khuatir kemungkinan adanya ayat al Quran yang hilang kerana adanya orang-orang yang menghafalnya meninggal dunia.

Bila semua bid'ah haram maka perbuatan khalifah Umar bin Khattab ra yang menjama'ahkan kaum
muslimin dalam solat terawih bermakmum pada seorang imam adalah haram. Bahkan ketika itu beliau berkata: "Bid'ah ini sungguh nikmat".

Bila semua bid'ah haram maka adanya pemberian ijazah doktor atau Drs. oleh universiti islam adalah haram kerana pada zaman Rasulullah SAW cukup banyak sahabat-sahabat yang pandai belajar ilmu agama, tapi tak ada satupun dari mereka yang diberi pangkat-pangkat didepan atau belakang namanya. Bila semua bid'ah haram maka mengumandangkan azan dengan pengeras suara, membangun hospital, rumah anak yatim piatu, membangun penjara untuk menghukum orang yang bersalah dll. adalah haram.

Dan masih banyak lagi contoh-contoh bid'ah/masalah-masalah baru seperti: peringatan hari kemerdekaan, halal bi halal, peringatan hari ulang tahun berdirinya satu negara dll, yang mana ini semua tidak pernah dilakukan pada masa hidup Rasullullah SAW serta para pendahulu kita dimasa lampau.

Sesungguhnya masalah yang baru tersebut walaupun tidak pernah dijalankan pada masa Nabi SAW serta para pendahulu kita itu, tetapi selama masalah ini tidak menyalahi syariat islam, maka tidak bererti haram untuk dilakukan. Kalau semua masalah baru tersebut dianggap bid'ah dholalah (sesat) maka akan tertutuplah pintu ijtihad para ulama tapi alhamdulillah fikiran dan akidah sebahagian besar umat muslimin tidak sedangkal itu.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam Syafii, Al Izz bin Abdis Salam, Imam Nawawi dan Ibnu Atsir ra dan para ulama lainnya bahawa bid'ah/masalah baru yang diadakan ini bila tidak menyalahi atau menyimpang dari syariat, maka semua itu adalah mustahab/dibolehkan apalagi dalam hal kebajikan dan selari dengan dalil syara', maka itu adalah sebahagian dari agama.

Amal kebajikan dan kebijaksanaan yang dilakukan para sahabat dan kaum salaf setelah wafat Rasulullah SAW itu diteliti oleh para ulama dan diuji dengan Kitabullah, Sunnah Rasul SAW dan kaedah-kaedah hukum syariat. Bila setelah diuji ternyata baik maka prakarsa tersebut dinilai baik dan dapat diterima. Sebaliknya, bila setelah diuji ternyata buruk, maka hal tersebut dinilai buruk dan dipandang sebagai bid'ah tercela. Masalah yang telah dinilai baik dan dapat diterima ini disebut bid'ah hasanah. 

Kerana sesuatu yang dibuat atau dikerjakan oleh sahabat bukan atas perintah Allah dan RasulNya itu maka ia disebut bid'ah tapi sebagai bid'ah hasanah. Ini dalam pandangan hukum syariat bukan "bid'ah" melainkan "sunnah mustanbathah" yakni sunnah yang ditetapkan berdasarkan "istinbath atau hasil ijtihad".

Juga ditulis oleh Mufti Mekkah As Sayyid Muhammad bin Alawiy Al Maliki Al Hasani pada sebuah makalahnya yang berjudul. "Sekitar peringatan Maulid Nabi yang Mulia (Haulal ihtifal bil Mauliddin Nabawiyyisy Syarif) adalah sbb:
Apa yang dikatakan oleh orang fanatik/ekstrim bahawa apa yang tidak pernah dilakukan oleh kaum salaf, tidaklah mempunyai dalil bahkan tiada dalil sama sekali bagi hal itu. Ini boleh kita jawab bahawa tiap orang yang mendalami ilmu Usuluddin mengetahui bahwa Asy-Syari' (Rasulullah SAW) menamakan bid'ahtul hadyi (bid'ah dalam menentukan petunjuk pada kebenaran Allah & RasulNya) sunnah, dan menjanjikan pahala bagi pelakunya.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim dari Jarir: "Barang siapa di dalam Islam merintis jalan (sunnah) kebajikan, kemudian setelah dia meninggal, kebajikan itu diamalkan orang lain maka baginya ditetapkan pahala yang sama dengan pahala yang diberikan pada pihak yang mengamalkannya. Ganjaran mereka sedikitpun tidak dikurangi." 

Masih banyak lagi hadith yang serupa itu diriwayatkan oleh Muslim, Abu Hurairah dan dari Ibnu Mas'ud ra.

Firman Allah swt: "Hendaklah kalian berbuat kebaikan, agar kalian memperoleh keuntungan". (Al Hajj:77)

Meskipun hadith Rasulullah SAW dari Jarir diatas tersebut berkaitan dengan soal sedekah/amal jariah, namun kaedah pokok yang telah disepakati oleh para ulama menetapkan bahawa "Pengertian berdasarkan keumuman lafaz, bukan berdasarkan kekhususan sebab".

Dalam bahasa Arab dan menurut istilah hukum syara', sunnah bererti jalan/thariqah. Jadi kesimpulan hadith di atas adalah siapa yang berbuat kebaikan dan tidak berlawanan dengan agama maka perjalanan tersebut disebut sunnah hasanah/perjalanan yang baik. Sebaliknya jalan yang ditempuh tersebut buruk/maksiat maka hal tersebut disebut sunnah sayyiah/jalan yg buruk.

Jadi yang dimaksud sunnah pada hadith di atas tersebut bukan sebagaimana yang menjadi pengertian kaum awam yang mengertikannya, sebagaimana yang kita kenal dalam istilah Fiqh, iaitu sesuatu yang dikerjakan mendapat pahala dan jika ditinggalkan tidak  mendatangkan dosa. Yang dimaksudkan adalah Sunnah Rasulullah SAW yakni jalan yang beliau tempuh, baik dalam amal perbuatan atau perintah.

Jadi sesuatu yang belum pernah diamalkan atau belum ada pada masa baginda itu harus dipertimbangkan dan dinilai apakah hal tersebut baik atau buruk atau apakah hal tersebut bertentangan/menyalahi agama atau tidak. Bila hal tersebut tidak menyalahi agama maka ia dapat diterima.

Ar Raghib Al-Ashfahaniy dalam kitabnya Mufradatul Quran bab Sunan halaman 245 mengatakan: Sunan adalah jamak dari kata sunnah. Sunnah sesuatu bererti jalan sesuatu. Sunnah Rasullullah SAW bererti jalan Rasulullah SAW iaitu jalan yang ditempuh dan ditunjukkan oleh baginda sedangkan Sunnah Allah dapat diertikan "jalan hikmahNya".

Contoh firman Allah SWT: "Sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu. Kalian tidak akan menemukan perubahan pada Sunnatullah itu". (Al Fatah: 23).

Jadi cabang-cabang syariat hukum syariat sekalipun berlainan bentuknya tetapi tujuan dan maksudnya tidak berbeza dan berubah, iaitu membersihkan jiwa manusia dan menghantarkannya kepada keredhaan Allah SWT. Begitulah kata Ar Raghib Al Ashfahaniy.

Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya "Iqtidha'us sirathil Mustaqim" berkata: Kata "sunnah" dalam hal itu bererti "adat kebiasaan" iaitu jalan atau cara yang berulang-ulang dilakukan oleh orang banyak baik mengenai soal-soal yang dianggap sebagai ibadat atau tidak. Juga oleh Al Hafiz di dalam Al Fath dalam tafsirnya mengenai makna kata "fitrah". Beliau mengatakan bahawa beberapa riwayat hadith menggunakan kata "sunnah" sebagai pengganti kata "fitrah", dan bermakna "thariqah atau jalan". Juga Abu Hamid dan Al-Mawardi juga mengertikan kata "sunnah" dengan "thariqah".

Saya cantumkan di bawah ini beberapa bukti yang menunjukkan amal kebaikan yang dilakukan oleh para sahabat Nabi SAW atas prakarsa mereka sendiri, bukan dari perintah Allah atau Nabi SAW dan bagaimana Rasulullah SAW menanggapi masalah itu.

Bukhari, Muslim dan Ahmad bin Hanbal meriwayatkan sebuah hadith sahih dari Abu Hurairah : Rasulullah SAW bertanya pada Bilal selesai solat Subuh: Hai Bilal, katakanlah padaku apa yang paling engkau harapkan dari amal yang telah engkau lakukan di dalam Islam, sebab aku mendengar bunyi terompahmu di dalam syurga. Bilal menjawab: Bagiku amal yang paling kuharapkan ialah aku selalu bersuci tiap saat (yakni selalu dalam keadaan berwuduk) siang-malam dan dalam keadaan suci seperti itulah aku menunaikan solat.

Hadith lain berasal dari Khabbab dalam Shahih Bukhari mengenai perbuatan Khabbab solat 2 rakaat sebagai pernyataan sabar (takziah) di saat menghadapi orang muslim yang mati terbunuh. (Fathul Bari, Jilid 8/313).

Bukhari, Muslim dan lain-lain dalam "Kitabus Solat" bab "Rabbna lakalhamdu". Hadith berasal dari Rifa'ah bin Rafi' yang menerangkan bahawa: Pada suatu hari aku solat dibelakang Rasulullah SAW. Ketika berdiri (I'tidal) sesudah ruku' beliau mengucapkan "sami'allahu liman hamidah". Salah seorang yang makmum menyusul ucapan beliau itu dengan berdoa: "Rabbana lakal hamdu katsiiran mubarakan fiihi" (Ya Tuhan kami, puji syukur sebanyak-banyaknya dan sebaik-baiknya atas limpahan keberkahanMu). Setelah solat Rasulullah SAW bertanya: 'Siapa tadi yang berdoa?' Orang yang berkenaan menjawab: Aku, ya Rasulullah. Rasulullah SAW berkata: "Aku melihat lebih dari 30 malaikat berlumba ingin mencatat doa itu lebih dulu".

Al Hafiz dalam "Al Fath" mengatakan bahawa hadith tersebut menunjukkan diperbolehkan orang berdoa atau berzikir di waktu solat selain dari yang kebiasaan, asalkan maknanya tidak berlawanan dengan kebiasaan yang telah ditentukan. Juga hadith itu membolehkan orang mengeraskan suara di waktu solat dalam batas tidak menimbulkan kebisikan.

Bukhari dalam "Kitabus Solah" dari Anas bin Malik yang menceritakan bahawa: "Beberapa orang solat dimasjid Quba. Orang yang mengimami solat itu setelah membaca surah Al Fatihah dan satu surah yang lain selalu menambah lagi dengan surat Al Ikhlas. Dan ini dilakukannya setiap rakaat. Setelah solat para makmum menegurnya: Kenapa anda setelah Fatihah dan surah lainnya selalu menambah dengan surah Al Ikhlas?

Sebenarnya anda boleh memilih membaca surah yang lain dan meninggalkan surah Al Ikhlas atau membaca surah Al Ikhlas tanpa membaca surah yang lain!

Imam tersebut menjawab: Tidak, aku tidak mahu meninggalkan surah Al Ikhlas. Kalau kalian setuju aku mahu mengimami kalian untuk seterusnya tapi kalau kalian tidak suka aku tidak mahu mengimami kalian. Kerana para makmum tidak melihat orang lain yang lebih baik dan afdhal dari imam tadi mereka tidak mahu diimami oleh orang lain. Setiba di Madinah mereka menemui Rasulullah SAW dan menceritakan hal tersebut pada baginda.

Kepada imam tersebut Rasulullah SAW bertanya: 'Hai fulan, apa sesungguhnya yang membuatmu tidak mahu menuruti permintaan teman-temanmu dan terus menerus membaca surat Al Ikhlas pada setiap rakaat? Imam tersebut menjawab: 'Ya Rasulallah, aku sangat mencintai Surah itu'. Baginda SAW bersabda: 'Kecintaanmu kepada Surah itu akan memasukkan dirimu ke dalam syurga'. "

Juga ada riwayat yang serupa tapi lain versi diriwayatkan oleh Bukhari dari Aisyah ra. Serta masih banyak hadith-hadith yang meriwayatkan amal para sahabat atas dasar prakarsa sendiri-sendiri. Yang mana semuanya tersebut diredhai/dibenarkan oleh Rasulullah SAW dan baginda memberi khabar gembira pada mereka dan amal-amal tersebut tidak diperintah atau dianjurkan oleh Rasulullah SAW sebelum atau sesudahnya.

Padahal kalau kita teliti hadith-hadith di atas tersebut semuanya berkaitan dengan masalah solat iaitu suatu ibadah pokok dan terpenting dalam Islam. Sebagaimana Rasulullah SAW telah bersabda: "Hendaklah kamu solat sebagaimana kamu melihat aku solat".

Sekalipun demikian baginda SAW membenarkan dan meredhai tambahan-tambahan tertentu yang berupa doa dan bacaan surah. Kerana baginda memandang doa dan bacaan surah tersebut di atas tidak keluar dari batas-batas yang telah ditentukan oleh syariat.

Yang lebih hairan lagi adalah bahawa ada juga orang yang menganggap doa qunut waktu solat subuh sebagai bid'ah. Padahal doa tersebut berasal dari Rasulullah SAW sendiri (diriwayatkan oleh Anas bin Malik dan beberapa orang sahabat lainnya).

Bagaimana mungkin doa qunut yang berasal dari Rasulallah SAW tersebut dikatakan bid'ah sedangkan tambahan-tambahan kalimat dalam solat (i'tidal) dan bacaan-bacaan lainnya dalam solat yang telah kita sebut di atas oleh perbuatan/tambahan sahabat-sahabat sendiri tidak dipersalahkan oleh Nabi SAW malah diredhai dan diberi khabar gembira bagi yang membacanya?

Renungkanlah!

Contoh-contoh di atas adalah sebahagian kecil saja yang saya bawakan disini. Sebenarnya masih banyak lagi riwayat hadith sahih tentang perbuatan-perbuatan para sahabat dari prakarsa dan ijtihadnya sendiri yang tidak diperintah atau dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Kerana semua itu bertujuan baik maka Nabi SAW membenarkan/meredhai dan mereka diberi khabar berita gembira dengan perbuatan/penambahan itu. Perbuatan-perbuatan sahabat tersebut dalam pandangan syariat bukan bid'ah melainkan sunnah mustanbathah yakni "sunnah" yang ditetapkan berdasarkan istinbath atau hasil ijtihad.

Dari sini kita boleh ambil kesimpulan bahawa semua bentuk amal-amal baik, samada ia dibuat/dijalankan atau tidak pada masa Rasulullah SAW atau masa dahulu setelah Nabi SAW, yang mempunyai tujuan mendekatkan diri untuk mendapat redha Allah SWT dan untuk mengingatkan (zikir) kita semua pada Allah serta RasulNya itu adalah sebahagian dari agama dan dapat diterima.

Sebagaimana hadith Rasulullah SAW: "Sesungguhnya segala perbuatan bergantung kepada niat, dan setiap manusia akan mendapat sekadar apa yang diniatkan, siapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya itu adalah kerana Allah dan Rasul (berhasil),....sampai akhir hadith" (Bukhari).

Hanya orang-orang yang ego, fanatik dan mahu memenangi diri sendiri sajalah yang mengingkari hal tersebut. Biasanya orang-orang yang mengingkari tersebut mengambil dalil dari hadith Rasulullah SAW seperti berikut: 

1) "Setiap yang diada-adakan (muhdatsah) adalah bid'ah dan setiap bid'ah adalah sesat".

2) Juga hadith Nabi SAW: "Barangsiapa yang di dalam agama kami mengadakan sesuatu yang tidak dari agama, maka ia tertolak".

Hadith-hadith itu dipandang oleh mereka sebagai pengkhususan hadith, "Kullu bid'atin dholalah" yang bersifat umum, kerana terdapat penegasan dalam hadith tersebut, yang tidak dari agama ia tertolak, jadi yang dimaksud dholalah.

Dan dengan dalil hadith tersebut mereka menetapkan apa saja yang terjadi setelah zaman Rasulullah SAW adalah bid'ah dholalah. Mereka tidak memandang apakah hal yang baru itu baik dan termasuk yang dikehendaki oleh agama atau tidak. Mereka juga tak mahu mengerti bahawa keupayaan memperbanyakkan kebajikan adalah melalui kebajikan juga. Jika ilmu agama sedangkal itu orang tidak perlu jerih payah memperoleh kebajikan.

Hadith diatas yang mengatakan, mengada-adakan sesuatu, itu adalah masalah pokok-pokok agama yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Itulah yang tidak boleh diubah/ditambah. Saya ambil perumpamaan yang mudah saja, ada orang mengatakan bahawa solat wajib itu setiap harinya 6 kali, padahal agama mengatakan 5 kali sehari. Atau orang yang sanggup/kuat puasa wajib pada bulan ramadhan mengatakan bahawa kita tidak perlu puasa pada bulan tersebut tapi boleh diganti dengan puasa pada bulan Rejab atau lainnya. Inilah yang dinamakan menambahkan atau mengada-adakan agama. Jadi bukan masalah-masalah nafilah, sunnah atau lainnya yang tidak termasuk pokok agama.

Telitilah isi hadith Qudsi yang diriwayatkan Bukhari dari Abu Hurairah dibawah ini:
"...HambaKu yang mendekatkan diri kepadaku dengan sesuatu yang lebih Ku sukai daripada yang telah Ku wajibkan kepadanya, dan selagi hambaKu mendekatkan diri kepadaKu dengan nawafil (amalan-amalan atau solat sunnah) sehingga Aku mencintainya, maka jika Aku telah mencintainya, Akulah yang menjadi pendengarannya dan dengan itu ia mendengar, Akulah yang menjadi penglihatannya dan dengan itu ia melihat, dan Aku pun menjadi tangannya dengan itu ia memukul (musuh), dan Aku juga menjadi kakinya dan dengan itu ia berjalan. Bila ia mohon kepada Ku itu pasti Kuberi dan bila ia mohon perlindungan kepada Ku ia pasti Ku lindungi".

Disamping itu mereka juga lupa yang disebut "agama" itu bukan hanya masalah ibadat saja. Allah SWT menetapkan agama islam bagi umat manusia mencakupi semua perilaku dan segi kehidupan manusia. Yang kesemuanya ini boleh dimasuki bid'ah baik yang hasanah mahupun yang sayyiah.

Sebenarnya masih banyak lagi tulisan-tulisan para ulama yang ingin saya cantumkam disini tapi insyaAllah sebahagian ini saja yang boleh membuka hati kita masing-masing agar tidak mencela, mengkafirkan dan sebagainya pada saudara-saudara muslim kita sendiri.

Semoga kita semua diberi hidayah dan taufiq oleh Allah swt. Amin

"Allahumma inni a'uudzubika an usyrika bika wa anaa a'lamu wastagfiruka limaa la'alamu". 
Maksudnya: Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari menyekutukan Engkau sedangkan aku mengetahui, dan aku memohon ampun kepada-Mu terhadap apa-apa yang tidak aku ketahui".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan